Proton jual 9,792 buah kenderaan pada Mei 2022 – naik 10.8% berbanding April, X50 jadi SUV paling laris

Proton telah mengumumkan jumlah jualan bagi bulan Mei 2022 meningkat 10.8% berbanding bulan April sebelumnya, menjadi 9,792 unit, dengan dikira termasuk domestik dan eksport. Jika dibandingkan dengan bulan sama tahun lepas, jumlah ini juga adalah 3.7% lebih tinggi.

Syarikat itu juga memberitahu bahawa jumlah yang disebutkan cukup untuk ia terus berada di kedudukan kedua dalam jumlah jualan keseluruhan. Tambah Proton lagi, perkongsian pasaran syarikat kini dijangka berada pada 19.6%, sementara pegangan pasaran tahun ini (YTD) dijangka berada pada 17.1%

Melihat secara lebih spesifik, Saga terus menjadi model paling popular jenama itu, dengan jumlah jualan 3,996 unit pada bulan Mei, meletakkannya di tangga kedua dalam pasaran sedan segmen A. Keadaan ini dijangka dapat diteruskan dengan hadirnya Saga MC2 facelift 2022 yang baru dilancarkan 12 Mei lalu.

Penyumbang kedua terbesar adalah X50, dengan jumlah jualan bulan Mei sebanyak 2,779 unit, seterusnya meletakkan ia di tempat pertama dalam segmen SUV dan SUV segmen B. Persona menjadi model ketiga Proton yang paling popular, dengan jumlah jualan 1,385 unit. Sementara itu, 692 unit X70 telah berjaya dijual, manakala Iriz dan Exora pula mencatat jualan masing-masing 553 unit dan 387 unit.

Jumlah kenderaan yang dieksport juga telah meningkat, dengan sekali lagi Saga mencatat jumlah terbanyak. Bagi tahun ini, 1,482 unit Saga telah dieksport, dan ini bersamaan dengan peningkatan sebanyak 71% berbanding tempoh sama tahun lepas.

Bagi bulan Mei, jumlah kenderaan yang dieksport adalah 513 unit, iaitu peningkatan 12.5% berbanding bulan sebelumnya, sementara jumlah keseluruhan model yang telah dieksport adalah sebanyak 2,086 unit – peningkatan 47% berbanding tempoh sama tahun lepas. Pasaran eksport paling besar adalah Pakistan, dengan catatan 1,350 unit, kemudiannya diikuti Mesir dan Brunei masing-masing 172 dan 158 unit.

“Peningkatan jualan Proton pada bulan Mei adalah hasil daripada peningkatan jumlah pengeluaran syarikat untuk mengejar permintaan pasaran. Untuk bahagian lain industri automotif, kami sedang terus mencuba dan mendapatkan bekalan alat ganti yang mencukupi untuk melunaskan tempahan yang tertangguh, jadi sementara semua itu berlaku, kami mahu mengucapkan terima kasih kepada pelanggan yang terus menyokong kami dan bertahan dengan tempoh menunggu yang lama,” kata timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

The post Proton jual 9,792 buah kenderaan pada Mei 2022 – naik 10.8% berbanding April, X50 jadi SUV paling laris appeared first on Paul Tan's Automotive News.